Ilmu.

| Ilmu Adalah Ubat Kepada Kejahilan |

Kejahilan (kebodohan) diri terhadap agama tidak akan mampu disembuhkan melainkan dengan ilmu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud ; “Sesungguhnya ubat kepada kejahilan adalah bertanya” [HR Abu Daud]

Allah SWT ada mengingatkan kita di dalam kitab suciNya yang bermaksud ; “Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui” [16:43]

Jika kita hendak mudah faham, beginilah maksud ayat ini, “kalau engkau jahil (bodoh) agama, pergilah cari ilmu (agama) daripada orang yang tahu agama”.

Kejahilan terhadap agama adalah ibarat suatu penyakit berbahaya yang perlu dirawat dengan kadar segera. Ini kerana orang yang jahil agama amat mudah sekali dihasut dan menghasut orang lain untuk melakukan sesuatu perkara yang boleh merosakkan dirinya dan orang lain.

Kejahilan terhadap agama akan merisikokan diri seseorang itu kepada lembah kerosakan jiwa dan akhlak yang kritikal. Kefahaman dan keyakinannya terhadap Tuhan pula pasti amat mudah sekali luntur dan pudar.

Akhirnya tiada lagi kebergantungan dan hilanglah kepercayaan terhadap Tuhan. Na’uzubillah!.

Musuh islam amat gembira sekali dengan fenomena masyarakat islam yang jahil terhadap agama ini. Oleh kerana faktor kejahilan terhadap agama ini juga, masyarakat mudah untuk didoktrin dan dihasut dengan agenda agenda jahat musuh islam agar manusia hidup menjauhi Tuhan.

Lihat sahaja kesannya pada masyarakat hari ini. Bersepah golongan orang yang jahil agama memperjuangkan hak hak kemanusian berdasarkan akal semata mata tanpa wahyu Tuhan. Pemimpin tidak memimpin dengan panduan Al Quran dan As Sunnah. Golongan juhala’ diangkat dan dipercayai berbanding golongan agamawan yang dicerca dan dihina. Ini amat menakutkan kita.

Ini semua adalah kesan daripada manusia yang jahil terhadap agama. Na’uzubillah!

Kembalilah kepada agama dengan bersungguh sungguh mendalami ilmu ilmu tentangnya. Jangan merasakan sudah cukup pandai dalam bab agama lalu sombong tidak lagi mahu mencari ilmu. Banyak kuliah kuliah agama dijalankan setiap hari samada di surau mahupun di masjid. Apakah kita sudah berusaha untuk menghadirinya? Ataukah kita masih selesa dengan segunung alasan untuk tidak menghadirinya?

Beringat ingatlah! Musuh kita sudah semakin ramai dan lebih maju menerobosi benteng benteng keislaman kita. Apakah kita mahu membiarkan sahaja? Setidak tidaknya mantapkanlah ilmu di dada agar mereka tidak mampu menggoyahkan keimanan kita.

Nabi Musa a.s ada berdoa kepada Allah agar dia tidak tergolong dari kalangan orang orang yang jahil. Maka marilah kita sama sama amalkan doa ini ;

أَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ
“Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)”. [2:67] Wallahu’alam.

#AkhiAdifGorment
25 Zulkaedah 1439H
7 August 2018